Tuesday, 15 May 2018 17:15

Wanita dalam sistem pemilihan demokrasi (in Bahasa Malaysia)

Written by

Setiap kali pilihan raya umum (PRU), antara isu yang menjadi tumpuan ialah berapa ramai wanita akan dipilih sebagai calon parti politik untuk bertanding.

Pada PRU-13 lima tahun lalu, ada 168 calon wanita bertanding merebut 56 kerusi Parlimen dan 112 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meningkat sebanyak 40 peratus berbanding 120 calon untuk kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-12 lima tahun sebelumnya.

Semakin masa beredar, nampaknya kesedaran lebih wanita diberi peluang menjadi calon PRU terus meningkat. Dijangka jumlah calon wanita untuk PRU-14 akan meningkat berbanding PRU-13.

Dari pandangan Islam, apakah kedudukan wanita dalam sistem pemilihan demokrasi dan sama ada mereka dibenar menjadi pemimpin serta wakil rakyat? Sebenarnya, suara supaya wanita diberi hak kesaksamaan dalam kepemimpinan bukan perkara baharu.

Dari segi sejarah, wanita bukan sahaja ditindas di negara Arab, malah di Barat. Contohnya pada abad ke-16 hingga ke-18 Masihi, wanita di England dinafikan hak mengundi, jauh sekali bertanding sebagai calon pilihan raya.

Pada zaman Arab Jahiliah, kanak-kanak perempuan ditanam hidup-hidup kerana kepercayaan kolot bahawa wanita membawa nasib malang kepada keluarga. Wanita juga dinafikan hak dalam pewarisan, perceraian, pekerjaan dan jauh sama sekali memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Perspektif ini secara jelas bercanggah dengan ajaran dalam al-Quran dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (keadaan dan amalan kamu)." (al-Hujurat:13)

Malangnya, walaupun Islam mengiktiraf kedudukan dan hak wanita, sesetengah pihak tetap mendiskriminasi golongan itu dengan menggunakan tiket agama, sedangkan hakikatnya, ia sekadar adat dan amalan yang tidak berlandaskan agama.

Sejak abad ketiga Hijrah, banyak perbincangan mengenai kepemimpinan diperkatakan, namun ia berkisar mengenai kepemimpinan lelaki sahaja.

Hak asasi golongan Hawa

Kepemimpinan wanita disentuh sepintas lalu kerana ada ayat al-Quran yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin ke atas kaum wanita". (al-Nisa 4:34)

Tambahan pula terdapat hadis yang mengatakan wanita itu kurang pada akal, agama dan ketetapan syarak dan kewajipan wanita adalah berhijab.

Realitinya, kurang pada akal bukan bermaksud kecerdikan wanita itu rendah dan lemah berbanding lelaki yang akalnya lebih mantap, matang dan berdaya fikir, tetapi sebenarnya ketetapan syarak yang menentukan nisbah bilangan kesaksian dua wanita menyamai satu lelaki.

Kurang pada agama pula bukan bermaksud tiada wanita mukminah, solehah, warak dan bertakwa kepada Allah SWT, tetapi mempunyai makna di sebaliknya, iaitu wanita terpaksa meninggalkan solat dan puasa ketika haid dan nifas.

Prinsip hak asasi wanita adalah antara agenda utama yang diperuntukkan dalam 'Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women 1979' (CEDAW). Konvensyen ini menuntut menyahkan sebarang bentuk diskriminasi ke atas wanita, terutama dalam isu penindasan hak. Malaysia tidak menerima pakai semua peruntukan CEDAW kerana tertakluk kepada hukum syarak dan norma masyarakat Timur.

Dari sudut pandangan Islam, adalah disepakati oleh seluruh ulama bahawa dalam melaksanakan solat, wanita tidak boleh menjadi imam bagi lelaki. Ini telah diterima wanita Islam kecuali dalam satu kes terpencil yang mana Aminah Wadud mengetuai solat Jumaat di Amerika Syarikat.

Adapun hukum bagi seseorang wanita menjadi ketua negara, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama. Majoriti berpendapat bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin negara berdasarkan ayat 34 dalam surah al-Nisa, manakala minoriti percaya bahawa wanita boleh menjadi pemimpin sesebuah negara.

Sebabnya ialah ayat 34 surah al-Nisa tidak boleh difahami secara literal seperti ada yang berpendapat bahawa ayat berkenaan hanya bermaksud 'suami perlu menjaga isteri mereka'.

Wanita sebagai pemimpin

Justeru, wanita diharus bertanding pada pilihan raya untuk diangkat sebagai pemimpin negara.

Jika melihat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara, tidak ada satu pun peruntukan melarang wanita dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, malah untuk jawatan Perdana Menteri sekalipun.

Hak ini termaktub dalam Perkara 8(1) yang memberi kesaksamaan dari segi undang-undang dan Perkara 8(2) bahawa tiada diskriminasi ke atas seseorang itu atas nama agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina.

Oleh kerana wanita adalah majoriti dalam masyarakat di Malaysia, kehadiran mereka hendaklah bergerak pantas mengikut arus perdana. Terdapat lebih 70 peratus pelajar di universiti dan lebih 60 peratus pekerja di negara ini dalam kalangan wanita. Perspektif Islam mengambil pendapat harus melantik wanita sebagai pemimpin negara, selain menerusi ketetapan dalam Perkara 8 (1) dan 8 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Jika ada peningkatan jumlah wanita dicalonkan bertanding pada PRU-14 pada 9 Mei ini, ia akan menambah jumlah kerusi golongan berkenaan di Dewan Rakyat dan meningkatkan jumlah wanita dalam Kabinet kerajaan.

Penambahan ini selari dengan dasar Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu melihat 30 peratus wanita memegang jawatan tinggi dalam sektor penting negara.

Berita Harian : Rabu, 25 April 2018

https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/04/416576/wanita-dalam-sistem-pemilihan-demokrasi

 

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Assoc. Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil is Deputy CEO of the International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Email: mazamadil@iais.org.my

www.iais.org.my/azam