Undang-undang di Malaysia telah mewujudkan peruntukan undang-undang bagi pertukaran agama seseorang kepada Islam. Peruntukan sedemikian didapati pada enakmen di peringkat negeri iaitu di dalam pentadbiran undang-undang Islam negeri.  Undang-undang tersebut pada mulanya merupakan sebuah peruntukan yang ringkas. Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Selangor 1952 merupakan enakmen paling awal menyatakan bahawa Majlis Agama Islam hendaklah mendaftarkan setiap individu yang menukar agamanya (seksyen 145-148). Ini bermakna seseorang tidak boleh menukar agamanya melainkan ianya dilakukan selaras dengan peruntukan enakmen terbabit, iaitu seseorang individu yang yang belum mencapai usia akil baligh tidak dibenarkan sama sekali untuk menukar agamanya, dan setiap pertukaran agama perlu didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam.

Meskipun begitu, penentuan agama kanak-kanak bagi salah satu pihak yang memeluk agama Islam juga masih menjadi persoalan besar dan tidak berkesudahan kerana ia melibatkan satu pihak yang memeluk agama Islam dan satu lagi bukan Islam. Ia menjadi polemik sekali lagi apabila terdapat cadangan pindaan terhadap Seksyen 117 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 di Dewan Undang Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini iaitu meminda keizinan ibu dan bapa atau penjaganya kepada keizinan ibu atau bapa atau penjaganya bagi kanak-kanak  bawah 18 tahun.  Ini kerana dalam konteks di Malaysia, Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya”. Melihat kepada versi dalam Bahasa Inggeris, ia menyebut perkataan ‘parent’ yang membawa maksud ibu atau bapa. Sekiranya perkataan ‘parents’ ditulis dengan jelas, ia membawa maksud ibu dan bapa.

Para ahli perundangan dan akademik membuat tafsiran yang berbeza mengenai perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Bagi yang menyokong ia membawa maksud kedua ibu bapa, mereka merujuk kepada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dalam tafsiran ‘his’ (dia lelaki) meliputi ‘her’ (dia perempuan). Begitu juga perkataan ‘parent’ hendaklah juga difahami secara jamak iaitu ‘parents’. Interpretasi ini didokong oleh Shad Saleem Faruqi, Majlis Peguam Malaysia, pertubuhan-pertubuhan NGO, parti-parti politik komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC serta parti-parti politik dalam Pakatan Harapan terutama DAP dan PKR.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berhujah bahawa penentuan agama kanak-kanak secara unilateral adalah selaras dengan keputusan dalam kes Susie Teoh (1990) dan Subashini (2008) di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penentuan agama seorang kanak-kanak bawah 18 tahun adalah dengan kebenaran ibu atau bapa atau penjaganya. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak dipersetujui oleh Majlis Peguam kerana pada kacamata mereka hujah yang mengatakan hanya cukup salah seorang ibu atau bapa dalam memberi keizinan agama seseorang kanak-kanak berlawanan dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini adalah terkhilaf. Ini kerana pada pandangan mereka, Mahkamah Persekutuan tidak mengambil kira takrifan dalam Perkara 160 (1) Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap perkataan mufrad (parent) membawa maksud jamak (parents).

Perlu dijelaskan bahawa buat masa sekarang terdapat negeri yang memperuntukkan keperluan keizinan ibu dan bapa, dan terdapat juga negeri yang hanya memperuntukkan keperluan keizinan ibu atau bapa dalam pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun.

Terdapat 8 negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah yang memperuntukkan dalam Akta/Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam masing-masing bahawa penentuan agama kanak-kanak bawah 18 tahun adalah dengan persetujuan ibu atau bapa. Manakala bagi 4 negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Perlis dan Terengganu menetapkan keperluan persetujuan ibu dan bapa. Dua negeri iaitu Pahang dan Kedah tidak mempunyai peruntukan mengenai keperluan persetujuan ibu bapa dalam pemelukan agama Islam bawah lapan belas tahun.

Persoalannya apakah DUN Negeri Selangor mempunyai kuasa meminda peruntukan Seksyen 117 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003? Jawapannya, secara undang-undang, DUN Selangor mempunyai kuasa untuk memindanya tetapi secara moral, DUN Selangor tidak boleh berbuat demikian kerana “terikat” dengan keputusan Indira Ghandi (2018) yang mengkehendaki persetujuan dan keizinan kedua-dua ibu dan bapa. Mengambil contoh Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan (Pindaan 2015) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang diluluskan oleh DUN masing-masing serta diwartakan. Kedua-dua DUN Kelantan dan Terengganu mempunyai kuasa membuat undang-undang tersebut tetapi ianyanya tidak boleh dikuatkuasakan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mengambil bidang kuasa persekutuan.

Buat masa sekarang keputusan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi (2018) mengikat kerana hakim-hakim telah mentafsirkan perkataan ‘parent’ dengan maksud jamak ‘parents’. Ini kerana persetujuan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan sebelum sijil pemelukan Islam dikeluarkan untuk dua anak bawah umur mengikut Perkara 12(4) dengan merujuk kepada takrifan di bawah Jadual Kesebelas dan seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961.

Sehingga ada keputusan yang berbeza oleh Mahkamah Persekutuan di masa hadapan, takrifan keperluan kepada keizinan ibu dan bapa dalam penentuan agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun adalah terpakai.

Bebas News : Sabtu, 10.08.2019